Friday, October 24, 2008

Nostalgia Sekolah..

Pertama sekali saya ingin nyatakan disini bahawa gambar diatas adalah sebuah sekolah yang memberi banyak jasa kepada ramai insan sebagai manusia terutamanya diri saya sendiri.Dengan rasa bangga sekali,maka saya tertarik untuk memuatkan himpunan gambar terkini sekolah saya yang diambil dari website sekolah.

Bermula dari tahun 1994 - pertengahan 1995 (meninggalkan sekolah kerana berhijrah ke Selangor) dan kembali semula pada pertengahan 1996 - 1998 menamatkan persekolahan di tingkatan 5.

Dan kini setelah hampir 10 tahun meninggalkan alam persekolahan menengah saya disini,akhirnya dapat juga saya menjengah semula sekolah ini di alam maya.Teknologi membawa saya pulang ke alam remaja dan memaut semula segala kenangan yang bertapak disitu sama ada suka dan duka,tangis atau tawa.(realitinya saya tak pernah menangis di sekolah).Ternyata banyak perubahan terutama sekali pada landskap sekolah yang mana saya kira lebih indah dan kemas.generasi masa kini sangat beruntung kerana dapat menikmati suasana pembelajaran dalam landskap yang mendamaikan dan penuh kehijauan.Maka tiada alasan untuk mereka mengabaikan pelajaran dan mensia-siakan keindahan yang diciptakan.Masa untuk kita menikmatinya hanya 5 tahun sahaja.Dan selepas itu terpulang pada diri sendiri,sekiranya dalam tempoh 5 tahun itu digunakan dengan sebaiknya maka baiklah persekitaran hidup mereka kelak.Keindahan dan kemudahan seperti ini tidak ada dizaman saya.Maka nikmatilah dengan sebaiknya..

Pemandangan dari arah depan (pintu masuk) ke sekolah.Tampak kekal seperti dahulu namun begitu pada zaman saya tiada yang meletak motosikal di luar bangunan.Pada pendapat saya mungkin pelajar sekarang sudah mewah,ibu bapa mampu membeli kenderaan untuk anak-anak mereka ke sekolah.Zaman saya hanya segelintir sahaja,selebihnya berjalan kaki atau paling popular menaiki bas.Saya dapat membayangkan mungkin kini pengusaha bas sekolah agak kerugian sedikit kerana kekurangan pelajar yang menggunakan khidmatnya.
Diahadapan pintu pagar tertera nama sekolah,yang membezakannya kini ialah sudah terdapat kemudahan perhentian yang mana pelajar boleh berteduh apabila hari hujan.Seingat saya dahulu,sekiranya hari hujan kami hanya mampu menunggu hujan reda atau paling tidak pun kami redah saja.Pengorbanan kami untuk ke sekolah lebih terkesan kerana dengan basah kuyup berlari hampir 200 meter untuk menaiki bas.Sekiranya lambat sedikit bas tidak akan menunggu kita...maka lewat senjalah baru sampai di rumah.

Saya masih ingat lagi dahulu,bangunan diatas saya duduki semasa tingkatan 2 dan tingkatan 5.Waktu itu landskap kolam masih kekal disitu tapi kini lebih 'meriah' sedikit dengan hiasan,yang berbeza adalah suatu masa dahulu ia dirimbuni beberapa pohon yang rendang.Saya boleh kira berapa kali menjejaki kawasan kolam ini sepanjang 'hayat' persekolahan disini.Kawasan ini memang tidak popular kerana ia berhampiran pejabat pengetua dan guru kanan.

Saya tidak berapa pasti tentang bangunan atau blok diatas.Fikiran saya sudah terhakis sedikit disebabkan masa yang berlalu dengan banyak perubahan berlaku,maka sukar untuk menyatakan kisah bangunan ini.Saya hanya melihatnya dari gambar sahaja,tetapi sekiranya saya melihat sendiri secara realitinya mungkin ia membantu mengimbas semula kisah disini.Saya hanya meneka mungkin bangunan ini dahulunya terletak ditingkat bawah deretan makmal sains dan disebelah atas terdapat perpustakaan.Tidak banyak saya boleh ceritakan kenangan di perpustakaan kerana saya mengaku bahawa saya jarang sekali mengunjunginya.Istilah kami pada masa dulu 'kawasan untuk bercinta' ialah disini dan saya bukan golongan pelajar yang cintan cintun.Cuma kisah yang menarik mungkin di makmal sains kerana seingat saya ini adalah kawasan nakal,guru Sains saya iaitu Cikgu Maizan kalau tak silap pernah beberapa kali naik angin dengan karenah saya dan kawan-kawan.Pernah satu masa Cikgu Maizan merotan kami kerana tidak memberi tumpuan semasa beliau mengajar,setelah beliau merotan di tapak tangan kami meminta lagi untuk dirotan semula.
"Nak lagi sekali Cikgu.."...
Ini kerana beliau kelihatan sangat ganas semasa mahu merotan tetapi apabila saat merotan hanya perlahan sahaja beliau memukul.Mungkin sifatnya seorang perempuan manakan boleh dibandingkan dengan kami yang yang meningkat dewasa,disertai dengan naluri keperempuanan maka sebatan itu langsung tidak dirasai.Apabila dikenang memang boleh mengundang tawa tetapi ia sebenarnya tidak baik dari segi moralnya.Kini saya berasa sangat bersalah pada beliau dan saya sedar kalau tidak kerana beliau saya tidak seperti hari ini.Maafkan saya cikgu..

Bersebelahan bangunan ini ialah kawasan perhimpunan setiap pagi Isnin.Disini juga terdapat kawasan lapang untuk Sepak Takraw dan Badminton.Semasa di tingkatan 5, di kelas saya pada masa itu hanya terdapat lebih kurang 7 orang lelaki saja daripada lebih kurang 35 pelajar.Baki keseluruhannya adalah pelajar perempuan.Kelas ini sebagai bukti pada masa itu pelajar lelaki sangat kurang yang benar-benar berpotensi.Saya akui bahawa pelajar lelaki lebih ramai di kelas-kelas bawahan yang mana disiplin dan gred pelajarannya sangat tidak memuaskan.Maka itu diasingkan supaya ia tidak mengganggu pelajar-pelajar lain yang dianggap berpotensi untuk cemerlang.Semasa perhimpunan kami sangat malu untuk beratur,kerana mengikut sistemnya pelajar lelaki di hadapan dan pelajar perempuan di bahagian belakang.Kelihatan kelas saya sangat aneh dengan barisan pelajar lelaki yang kurang berbanding kelas-kelas lain yang seimbang dari segi jumlah jantina pelajarnya.Maka saya dan rakan-rakan selalunya mencelah di barisan kelas sebelah atau mana-mana barisan yang kami suka.Pada mulanya ada guru yang menegur tetapi lama kelamaan sudah tidak menjadi isu lagi..

Bersambung di bahagian 2...

0 comments: